Peningkatan Sebanyak 0.78% Calon PMR Yang Mendapat A Di Perak
Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Pelajaran negeri, Mohd Idris Ramli, di Perak seramai 3,017 calon yang menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mendapat A dalam semua pelajaran yang diambil, meningkat 0.78 peratus berbanding tahun lalu.
Daripada jumlah itu, 279 calon mendapat 9A, 2,083 (8A) dan 655 (7A). Dari segi pencapaian sekolah, tujuh sekolah mencatat kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Ipoh; Kolej Melayu Kuala Kangsar, Kuala Kangsar; SM Sains Raja Tun Azlan Shah, Taiping; SMK Raja Permaisuri Bainun, Ipoh; SM Sains Teluk Intan, Teluk Intan; SMK Taman Tasik, Taiping; dan SBP Intergrasi Gopeng.
Dua sekolah luar bandar turut mencatat keputusan membanggakan iaitu SMK Raja Shahriman, Bruas dan SMK Abu Bakar Al Bakir, Bagan Serai apabila dua dan empat calon dari sekolah itu mendapat 9A.
Katanya, sekolah harian lain yang mencatat keputusan membanggakan ialah SMK Convent Taiping, SMK Tarcisan Convent, SMK Ave Maria dan SMK Convent Sitiawan.
“Seramai 27,105 calon atau 64.8 peratus daripada 41,810 calon yang menduduki peperiksaan PMR telah memperoleh pencapaian minimum D dalam semua mata pelajaran diambil.
“Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 3.4 peratus berbanding 61.38 pada 2009,” katanya kepada pemberita pada sidang akhbar keputusan PMR 2010 peringkat Perak di Ipoh, hari ini (24.12.2011)